30 September 2019 - 17:19
Ceramah Timbulkan Kebencian Terhadap Syiah, Laporan Polis Dibuat

Laporan polis dibuat ke atas pihak penganjur ceramah yang disifatkan menghasut masyarakat tempatan di Selangor untuk membenci penganut ajaran Syiah di Malaysia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Laporan polis dibuat ke atas pihak penganjur  ceramah yang disifatkan menghasut masyarakat tempatan di Selangor untuk membenci penganut ajaran Syiah di Malaysia.

Haji Kamil Zuhairi, pada 28 September lepas telah membuat laporan polis di Gombak berkaitan dengan sebuah program yang dianjurkan di Masjid Jamek Sungai Plong dengan tajuk "Kenali Syiah Dan Kesesatannya".

Menurut beliau, ceramah yang memiliki unsur hasutan itu mampu menjejaskan keselamatan penganut ajaran Syiah di Malaysia melalui penyampaian maklumat yang tidak tepat dan menyimpang berkenaan dengan ajaran Syiah itu sendiri.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak penganjur yang menggunakan foto-foto yang salah untuk menggambarkan ajaran Syiah dan pengikutnya di dalam poster mereka.

Imej yang menunjukkan simbol zionis dan tindakan melukai kepala yang diletakkan berdekatan dengan foto ulama terkemuka Syiah dianggap membawa mesej berisi hasutan yang boleh membahayakan banyak pihak.

Selain daripada itu, Haji Kamil Zuhairi juga menekankan bahawa tindakan melukakan kepala sama sekali telah diharamkan oleh para ulama di dunia Syiah termasuk Syed Ali Khamenei sendiri.

Toleransi mazhab di Malaysia khususnya di Selangor dan Johor dilihat berada di tahap yang membimbangkan dengan tindakan pihak berkuasa tempatan menyerbu majlis-majlis pencinta Ahlul Bait dan penganjuran program-program yang memiliki unsur hasutan terhadap golongan minoriti tersebut. -ABNA24